Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

Wednesday, March 17, 2010

Ops halal: Penguatkuasa, media dikurung empat jam

Seorang pemilik kilang penyembelihan ayam di kawasan Taman Halal Pedas dekat Rembau bertindak mengurung 12 anggota penguatkuasa dan wakil media selama empat jam di premis itu semasa satu operasi semalam.

Pada kejadian jam 4 petang itu, sekumpulan enam anggota dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan enam daripada Kementerian perdagangan Dalam negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membuat serbuan ke atas kilang itu.

Lima wakil media turut bersama dalam operasi itu untuk memeriksa kesahihan logo halal yang digunakan oleh kilang itu.

Bagaimanapun, seorang wartawan dalam kumpulan itu berjaya melepaskan diri lalu meminta bantuan polis.

Seramai 10 anggota polis dari Ibupejabat Balai Polis Daerah Rembau kemudian membebaskan kesemua yang terperangkap.

Ketika ditemui, Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Mohd Amri Abdullah, enggan mengulas mengenai tindakan lelaki berusia awal 40an itu.

"Saya hanya boleh katakan, sijil halal milik kilang ini akan digantung sehingga siasatan selesai," katanya kepada pemberita selepas keluar dari kawasan kilang pada pukul 8 malam semalam.

Sementara itu, wakil media dari TV3, Shamsul Liani Abbas yang terperangkap di kilang itu memberitahu, beliau difahamkan pasukan Jakim dan kementerian terbabit datang dari ibupejabat mereka di Putrajaya selepas menerima maklumat dari Pulau Pinang.

"Di Pulau Pinang, pasukan Jakim telah menyerbu sebuah pasar raya di mana ia menjual ayam yang mempunyai sijil halal JAKIM tetapi sembelihannya diragui," katanya kepada Bernama.

Apabila berjaya mengesan alamat kilang penyembelihan pada bungkusan ayam terbabit, pasukan dari Putrajaya ini telah menyoal siasat pemilik kilang sebelum lelaki itu menjadi berang.

- Bernama

Monday, November 2, 2009

Kapsul ubat: Gelatin babi dicop halal

Kira-kira 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di makmal Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) tidak halal kerana menggunakan gelatin kapsul ubat dari khinzir.

Dekan Pusat Pengajian berkenaan Prof Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman berkata kesemua produk yang diuji sejak setahun lepas itu dihantar oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan pengeluar produk bagi mengenal pasti sumber gelatin yang mereka gunakan.

"Daripada 100 produk yang kita uji, sebanyak 30 peratus tidak halal dan menggunakan gelatin dari khinzir kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu.

"Bagaimanapun ini bukanlah menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang terlibat bertindak menukar gelatin yang mereka gunakan kepada yang halal seperti gelatin lembu selepas dimaklumkan perkara berkenaan," katanya selepas satu sidang akhbar di USM di Pulau Pinang hari ini.

Gelatin adalah suatu campuran protein diekstrak daripada kulit binatang.

Syed Azhar berkata produk kesihatan yang diuji tidak halal itu memang terdapat di pasaran dan ia dijual sejak beberapa tahun lepas.

"Ini yang kita bimbangkan kerana gelatin kapsulnya tidak halal dan produk berkenaan dikeluarkan sijil halal yang sah ekoran bahan utamanya halal," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan mewajibkan pengeluar produk kesihatan menggunakan gelatin kapsul dari sumber yang halal.

Sementara itu, sekumpulan penyelidik USM yang diketuai Prof Madya Dr Gam Lay Harn berjaya menghasilkan kaedah yang pertama di Malaysia bagi mengenal pasti sumber bahan untuk gelatin kapsul ubat.

Dr Gam berkata dengan menggunakan teknik-teknik pengekstrakan dan pengasingan protein yang sesuai, pihaknya berjaya membangunkan satu kaedah pengenalpastian sumber gelatin sama ada daripada lembu atau khinzir.

Penyelidikan itu dibantu Zuraidah Mohd Zobir, Yap Beow Keat dan Lim Chu Ai.

Dr Gam berkata pada campuran yang mengandung 20 peratus gelatin khinzir atau lebih bagi setiap kapsul ubat, pihaknya 100 peratus yakin dapat mengesan kandungan gelatin tersebut.

Beliau menjangkakan kaedah yang telah memenangi beberapa anugerah di Malaysia dan luar negara itu mampu diterima di seluruh dunia terutama di negara-negara Islam kerana ia melibatkan produk halal dan haram. BERNAMA