Wednesday, June 3, 2009

Sahibus Samahah Dato' Paduka Syeikh Abd. Majid Bin Mohd. Noor (Dato' Mursyid DiRaja)

Sahibus Samahah Dato' Paduka Syeikh Abd. Majid Bin Mohd. Noor (Dato' Mursyid DiRaja)




Dato' Paduka Syeikh Abd. Majid bin Mohd. Noor dilahirkan pada 12 Februari 1924 di Kampung Seberang Pantai Johor, Alor Star, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah, Alor Star pada tahun 1930 selama tiga tahun. Kemudian, beliau meneruskan persekolahan di Sekolah Rendah Suka Menanti pada tahun 1935 dan seterusnya di Maktab Mahmud selama lapan tahun. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajiannya di Universiti Al-Azhar, Mesir dan mendapat Ijazah B.A. di sana. Pada tahun 1955, beliau melanjutkan pengajiannya di Institusi Ain al-Syam dalam bidang perguruan.

Kerjaya :

* Guru bahasa Arab, Maktab Mahmud (1945-1965)
* Pemangku Pengetua, Maktab Mahmud (1961)
* Pengetua Maktab Mahmud (1965)
* Pendaftar Sekolah-sekolah Agama, Majlis Hal Ehwal Agama Islam (1969)
* Penasihat Lembaga Urusan dan Tabung Haji (1980an)
* Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, Tabung Haji
* Pengerusi Lembaga Maktab Mahmud
* Ahli Lembaga Amanah Yayasan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIM)
* Hakim pertandingan tilawah al-Quran peringkat negeri dan kebangsaan
* Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah
* Yang DiPertua Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kedah
* Ahli Majlis Agama Islam Kedah
* Ahli Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah
* Pengerusi Jawatankuasa Syariah Kedah
* Yang DiPertua Persatuan Ulama Kedah (1980-1984)
* Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah (1980-1984)
* Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kedah (1979-1986)


Beliau pernah dilantik oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah sebagai Yang Dipertua Majlis Hal Ehwal Agama Islam.
Antara hasil karya beliau ialah, Risalah Sembahyang Terawih dan Sembahyang Musafir, Jamak dan Qasar. Beliau juga menyusun kurikulum Sekolah-sekolah Rendah di Kedah. Dato' Paduka Syeikh Abd. Majid bukan sahaja dikenali sebagai tokoh dalam bidang agama tetapi juga tokoh pendidik yang disegani serta seorang yang warak dan lemah lembut tetapi tegas dalam soal berkaitan agama.

Sebagai mengenang sumbangan dan jasa bakti dalam bidang yang beliau ceburi, pelbagai pingat dan darjah kebesaran telah dianugerahkan oleh kerajaan, antaranya ialah D.H.M.S yang membawa gelaran Dato' Paduka, D.P.M.K, S.M.K., P.C.K., Dato' Setia Jaya dan Dato' Mursyid DiRaja (Dato' Bergelar Orang Besar Enam Belas). Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah pada tahun 1986, Tokoh Guru Kebangsaan pada tahun 1987 dan Tokoh Maal Hijrah pada tahun 1998.