Thursday, January 13, 2011

KNB jangka raih RM25 juta hasil kerjasama dengan Gerimis Baiduri

PETALING JAYA, 12 Jan – Kontena Nasional Bhd (KNB) menjangkakan yang perniagaan logistik rantaian dingin halalnya akan meraih pendapatan RM25 juta tahun ini, dirangsang oleh kerjasama strategik yang dimeterai dengan Gerimis Baiduri Sdn Bhd hari ini.

Memetik laporan Bernama, kedua-dua pihak memeterai memorandum persefahaman untuk menyediakan perkhidmatan terutamanya dalam perkhidmatan pengangkutan dan penyimpanan industri beku dan dingin di dalam negara.

Ketua pegawai eksekutifnya, Hood Osman berkata langkah itu tepat pada masanya untuk syarikat mengembangkan lagi perkhidmatan logistik tiga pihaknya dan mempercepatkan perdagangan halal syarikat sebagai peneraju dalam kemudahan halal dan infrastruktur logistik tempatan.

“KNB tidak pernah melakukan perniagaan rantaian dingin setakat ini. Dengan langkah kami menceburi sektor halal, perkhidmatan dingin ini adalah syarat utama untuk melengkapkan rantaian bekalan halal dan kami tidak boleh melakukannya sendirian.

“Tahun lepas, kami membangunkan rumah gudang dingin dan kami perlu bergerak ke tahap yang lebih tinggi untuk melicinkan lagi perniagaan dingin ini. Jadi, kerjasama dengan Gerimis adalah penting dan akan memajukan lagi perniagaan,” kata beliau kepada pemberita selepas menandatangani MOU hari ini.

Hood berkata KNB akan menambah tiga lagi rumah gudang dingin tahun ini, setiap satu di utara dan selatan dan kemudahan tambahan di Lembah Klang.

“Kami tidak akan mengambilalih rumah gudang baharu tetapi meninjau kemungkinan yang agensi kerajaan akan menawarkannya untuk dipajak,” katanya.

Pada masa ini, KNB mempunyai dua rumah gudang dingin, satu di Petaling Jaya dan Pelabuhan Klang, menawarkan penyimpanan hawa dingin jangka panjang dan pendek.

Kompleks rumah gudang terbesarnya di Pelabuhan Klang dikenali sebagai ”KNDC11″ mempunyai kapasiti berkeluasan 200,000 kaki persegi.

KNB menjadi penyedia logistik diperakui yang pertama di Malaysia berikutan persijilan untuk rumah gudangnya di Petaling Jaya pada Disember 2009.

Hood berkata KNB akan memperolehi persijilan Halal-Jakim untuk dua lagi cawangannya di Johor Baharu dan Kuantan menjelang akhir bulan ini, selain daripada cawangannya di Pulau Pinang dan Ipoh.

“Ini akan melengkapkan usaha-usaha ke arah menjadi penyedia kemudahan terpilih di dalam negara, sekali gus memenuhi jurang dalam keseluruhan rantaian pengeluaran dan pengedaran halal,” kata bleiau.

KNB telah memperuntukkan RM12.5 juta tahun ini untuk mengembangkan perkhidmatan 3PLnya.

Susulan daripada kerjasama jualan bersilang ini, Hood berkata KNB akan membelanjakan RM8 juta tahun ini untuk menukar 30 traknya di bawah rancangan pengembangan 3PLnya.

Gerimis Baiduri ialah pakar pengangkutan dingin dan beku di Malaysia, menyediakan rangkaian 220 trak hawa dingin.

Pengarah Urusannya Datuk T.S. Liew berkata syarikat akan menambah 50 trak lagi tahun ini daripada purata 25 setiap tahun.

“Biasanya, setiap tahun kami melabur RM3 juta dan dengan pengembangan ini, kami menjangka meningkatkan antara RM6 juta dan RM8 juta, termasuk membeli trak satu tonne hingga 20 tonne,” tambah beliau.