Sunday, July 19, 2009

HUKUM MELAKUKAN SAMAK NAJIS MUGHALAZAH MENGGUNAKAN SABUN TAHARAH

DEFINISI SAMAK
Dalam Bahasa Arab disebut sebagai Dibagh bermaksud pensuci mengikut pandangan Mazhab Syafie.
 Mengikut ahli fiqh, samak dan perlaksanaannya dapat dibahagikan kepada samak terhadap kulit binatang iaitu selain binatang yang diharamkan, peralatan dan perkakasan dan terhadap sesuatu yang bersentuhan dengan najis mughallazah.
DALIL SAMAK
 Dari Abu Hurairah, ia berkata: “Rasullullah SAW pernah bersabda : sucinya bekas salah seorang diantara kamu, jika ada anjing minum di dalamnya, hendaklah membasuhnya 7kali, salah satunya dengan debu.”
 Dari Ibn Mughaffal, ia berkata: “Rasulullah s.a.w pernah memerintahkan membunuh anjing,kemudian bersabda: “Mengapa mereka mengangap penting anjing-anjing itu?” Kemudian Rasul memberi keringanan dalam hal berkaitan anjing pemburu dan anjing penjaga kambing lalu bersabda : “Apabila ada anjing minum di dalam bekas, basuhlah bekas tersebut tujuh kali dan gosoklah dengan tanah pada basuhan kelapan..”
HUKUM MENYAMAK
 Untuk menyucikan najis mughallazah wujud empat pendapat mazhab seperti berikut :
 Al-Syafiiah dan Hanabilah berpendapat wajib dibasuh tempat yang terkena najis mughallazah sebanyak tujuh kali dan salah satu daripadanya dengan tanah dan tidak memadai tanah tersebut diganti dengan benda lain selain dari sabun, Ushnan dsb kerana perintah utk membasuh dgn tanah adalah perintah ta’abbudi.
 Selain itu, pendapat lain dalam mazhab syafii menyatakan gantian tanah adalah memadai jika tiada tanah atau dikhuatiri tanah akan menyebabkan kerosakan pada peralatan atau pakaian .
 Malikiah berpendapat disunatkan membasuh bekas yang terkena najis mughallazah sebanyak tujuh kali tetapi tidak wajib menggunakan tanah.
 Hanafiah pula berpendapat wajib dibasuh tiga kali, lima kali atau tujuh kali.
 Sebagai kesimpulannya para fuqaha tidak sependapat dalam mewajibkan penggunaan tanah semasa proses menyamak najis mughallazah.
 Bagaimanapun, terdapat pendapat lain yang mengharuskan penggunaan bahan alternatif lain seumpama tanah sebagai ganti penggunaan tanah.
 Tanah dicampur dengan benda asing tidak menjadi halangan asalkan ia tidak mengubah keaslian tanah dan suci.
Pendapat Mufti/Fatwa Negeri mengenai sabun taharah
 Beberapa Jabatan Mufti Negeri seperti Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, PPIM dan YADIM telah mengesahkan penggunaan sabun taharah untuk tujuan samak kerana mereka mendakwa terdapat 90% tanah liat.
 Walaubagaimanapun, Jabatan Mufti negeri-negeri berbeza pendapat tentang kandungan tanah yang terdapat dalam sabun Taharah tersebut.
 Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mendakwa hanya 5% sahaja kandungan tanah pada sabun tersebut, maka mereka tidak bersetuju sabun ini digunakan sebagai bahan samak.
 Manakala Majlis Fatwa Negeri Selangor memutuskan tidak sah digunakan untuk bersuci atau menyamak kerana syarat sah bersuci adalah menggunakan tanah liat 100%.
 Akibat daripada perbezaan pendapat antara negeri-negeri dalam melaksanakan fatwa tentang hal ini maka diajukan persoalan tersebut kepada Muzakarah Fatwa Kebangsaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke – 76
 Tarikh : 21 - 23 November 2006
 Keputusan Muzakarah :
" Sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak."