Thursday, September 23, 2010

Halal Executive/Pegawai Halal : Perlu diperkasakan

Di dalam standard MS 1500:2009 Clause 3.1.1 menyatakan bahawa “The management shall appoint Muslim Halal Executive Officer or establish a committee which consist a Muslim personnel who are responsible to ensure the effectiveness in implementation of internal Halal control system”

Melalui klause inilah lahirnya eksekutif halal/pegawai halal yang bertugas di syarikat-syarikat pemprosesan makanan,rumah penyembelihan,premis makanan,hotel,dan gudang. Tidak ramai yang tahu mengenai wujudnya jawatan ini dan masih ramai pemilik-pemilik syarikat yang berkaitan makanan masih memandang rendah akan keperluan dan kepentingan pegawai Halal ini.

Saban tahun ramai pelajar lepasan Universiti dilatih untuk menjadi eksekutif halal samada keluaran MISDEC,HDC,INSKEN dan kebanyakan mereka ini berjaya mendapatkan tempat di Industri. Namun agak ramai juga yang kecundang dan tidak yakin dengan prospek masa depan industri Halal yang sememangnya bermusim ini di tambah dengan imbuhan kewangan yang agak kurang menarik berbanding kelayakan yang mereka miliki.

Bidang Eksekutif Halal masih baru dalam industri ini, usianya masih setahun jagung dan memerlukan masa untuk matang dan lebih bersifat profesional, usaha perlu dilakukan oleh pihak berwajib untuk lebih memperkasakan bidang ini dan menarik lebih ramai individu untuk memilih bidang kerjaya ini. Peranan mereka amat penting kearah merealisasikan impian negara untuk memperkasakan bidang halal.

Tanggungjawab yang dipikul oleh Eksekutif Halal amatlah berat, mereka berperanan untuk memastikan produk yang dikeluarkan di premis tersebut adalah benar-benar halal, bermula daripada pembelian bahan mentah sehinggalah pengangkutan ke premis pelanggan, semua ini memerlukan tahap integriti yang tinggi demi untuk memastikan makanan yang dimakan oleh umat Islam adalah benar-benar halal ,dan bukan hanya halal di atas sijil semata-mata.

Cabaran yang dihadapi oleh mereka juga tidak kurang hebatnya,jika pihak pengurusan tidak memberikan komitmen yang baik,maka tugas dan tanggungjawab mereka menjadi berat.Ketegasan dan keberanian juga perlu wujud dalam diri mereka,jika tidak segala nasihat dan pandangan hanya akan dipandang remeh oleh pihak industri tanpa ada apa-apa tindakan.

Dakwah juga merupakan salah satu “job scope” halal executive secara tak langsung, tugas mereka amat penting untuk memahamkan kepada masyarakat industry tentang makna halal yang sebenar. Dengan keadaan Industri makanan yang dimonopoli oleh non-muslim,maka mereka ini berperanan untuk menerangkan kepada pihak industry yang rata-rata hanya memahami halal untuk tujuan keuntungan kewangan semata-mata.

Penulis dan rakan-rakan mengimpikan agar pada masa depan bidang pekerjaan ini akan dipandang tinggi dan dinaikkan martabatnya sesuai dengan peranan dan tanggungjawab. InsyaAllah semoga pada satu hari nanti bidang ini akan berada sebaris dengan bidang professional lain.