Tuesday, July 21, 2009

Harta sebenar seorang manusia

Daripada Abdullah bin as-Sikhkhir r.a., bahawasanya ia berkata, saya datang kepada Nabi s.a.w. dan beliau sedang membaca ayat (yang ertinya) "Engkau semua dilalaikan oleh perlumbaan memperbanyakkan kekayaan." (Surah At-Takaathur, Ayat 1)

Lalu beliau bersabda, "Anak Adam itu berkata, 'Hartaku, hartaku!'. Padahal harta yang benar-benar menjadi milikmu itu, hai anak Adam, ialah apa-apa yang engkau makan lalu engkau habiskan, apa-apa yang engkau pakai, lalu engkau rosakkan atau apa-apa yang engkau sedekahkan lalu engkau lampaukan"

(Riwayat Muslim)

Monday, July 20, 2009

Tujuh macam orang yang dinaungi Allah

Daripada Abu Hurairah r.a. pula, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Ada tujuh macam orang yang akan dinaungi oleh Allah dalam naunganNya pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya sendiri (yakni hari kiamat), iaitu :

1) imam (kepala atau pemimpin) yang adil.
2) Pemuda yang membesar (sejak kecilnya) dalam beribadat kepada Allah.
3) Orang yang hatinya tergantung (sangat memerhatikan) kepada masjid-masjid.
4) Dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul atas keadaan sedemikian itu dan keduanya berpisah atas keadaan sedemikian itu pula.
5) Orang lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan berparas cantik, lalu ia berkata: "Sesungguhnya saya ini takut kepada Allah," (demikian pula sebaliknya, iaitu wanita yang diajak lelaki lalu bersikap seperti di atas)
6) juga orang yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu disembunyikan sedekahnya itu sehingga seolah-olah tangan kirinya tidak tahu apa yang dinafkahkan oleh tangan kanannya.
7) dan orang yang mengingat pada Allah di waktu keadaan sunyi lalu melelehlah airmata dari kedua matanya."

(Muttafaq 'alaih)

Sunday, July 19, 2009

HUKUM MELAKUKAN SAMAK NAJIS MUGHALAZAH MENGGUNAKAN SABUN TAHARAH

DEFINISI SAMAK
Dalam Bahasa Arab disebut sebagai Dibagh bermaksud pensuci mengikut pandangan Mazhab Syafie.
 Mengikut ahli fiqh, samak dan perlaksanaannya dapat dibahagikan kepada samak terhadap kulit binatang iaitu selain binatang yang diharamkan, peralatan dan perkakasan dan terhadap sesuatu yang bersentuhan dengan najis mughallazah.
DALIL SAMAK
 Dari Abu Hurairah, ia berkata: “Rasullullah SAW pernah bersabda : sucinya bekas salah seorang diantara kamu, jika ada anjing minum di dalamnya, hendaklah membasuhnya 7kali, salah satunya dengan debu.”
 Dari Ibn Mughaffal, ia berkata: “Rasulullah s.a.w pernah memerintahkan membunuh anjing,kemudian bersabda: “Mengapa mereka mengangap penting anjing-anjing itu?” Kemudian Rasul memberi keringanan dalam hal berkaitan anjing pemburu dan anjing penjaga kambing lalu bersabda : “Apabila ada anjing minum di dalam bekas, basuhlah bekas tersebut tujuh kali dan gosoklah dengan tanah pada basuhan kelapan..”
HUKUM MENYAMAK
 Untuk menyucikan najis mughallazah wujud empat pendapat mazhab seperti berikut :
 Al-Syafiiah dan Hanabilah berpendapat wajib dibasuh tempat yang terkena najis mughallazah sebanyak tujuh kali dan salah satu daripadanya dengan tanah dan tidak memadai tanah tersebut diganti dengan benda lain selain dari sabun, Ushnan dsb kerana perintah utk membasuh dgn tanah adalah perintah ta’abbudi.
 Selain itu, pendapat lain dalam mazhab syafii menyatakan gantian tanah adalah memadai jika tiada tanah atau dikhuatiri tanah akan menyebabkan kerosakan pada peralatan atau pakaian .
 Malikiah berpendapat disunatkan membasuh bekas yang terkena najis mughallazah sebanyak tujuh kali tetapi tidak wajib menggunakan tanah.
 Hanafiah pula berpendapat wajib dibasuh tiga kali, lima kali atau tujuh kali.
 Sebagai kesimpulannya para fuqaha tidak sependapat dalam mewajibkan penggunaan tanah semasa proses menyamak najis mughallazah.
 Bagaimanapun, terdapat pendapat lain yang mengharuskan penggunaan bahan alternatif lain seumpama tanah sebagai ganti penggunaan tanah.
 Tanah dicampur dengan benda asing tidak menjadi halangan asalkan ia tidak mengubah keaslian tanah dan suci.
Pendapat Mufti/Fatwa Negeri mengenai sabun taharah
 Beberapa Jabatan Mufti Negeri seperti Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, PPIM dan YADIM telah mengesahkan penggunaan sabun taharah untuk tujuan samak kerana mereka mendakwa terdapat 90% tanah liat.
 Walaubagaimanapun, Jabatan Mufti negeri-negeri berbeza pendapat tentang kandungan tanah yang terdapat dalam sabun Taharah tersebut.
 Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mendakwa hanya 5% sahaja kandungan tanah pada sabun tersebut, maka mereka tidak bersetuju sabun ini digunakan sebagai bahan samak.
 Manakala Majlis Fatwa Negeri Selangor memutuskan tidak sah digunakan untuk bersuci atau menyamak kerana syarat sah bersuci adalah menggunakan tanah liat 100%.
 Akibat daripada perbezaan pendapat antara negeri-negeri dalam melaksanakan fatwa tentang hal ini maka diajukan persoalan tersebut kepada Muzakarah Fatwa Kebangsaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke – 76
 Tarikh : 21 - 23 November 2006
 Keputusan Muzakarah :
" Sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak."

Wednesday, June 3, 2009

Sahibus Samahah Dato' Paduka Syeikh Abd. Majid Bin Mohd. Noor (Dato' Mursyid DiRaja)

Sahibus Samahah Dato' Paduka Syeikh Abd. Majid Bin Mohd. Noor (Dato' Mursyid DiRaja)




Dato' Paduka Syeikh Abd. Majid bin Mohd. Noor dilahirkan pada 12 Februari 1924 di Kampung Seberang Pantai Johor, Alor Star, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah, Alor Star pada tahun 1930 selama tiga tahun. Kemudian, beliau meneruskan persekolahan di Sekolah Rendah Suka Menanti pada tahun 1935 dan seterusnya di Maktab Mahmud selama lapan tahun. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajiannya di Universiti Al-Azhar, Mesir dan mendapat Ijazah B.A. di sana. Pada tahun 1955, beliau melanjutkan pengajiannya di Institusi Ain al-Syam dalam bidang perguruan.

Kerjaya :

* Guru bahasa Arab, Maktab Mahmud (1945-1965)
* Pemangku Pengetua, Maktab Mahmud (1961)
* Pengetua Maktab Mahmud (1965)
* Pendaftar Sekolah-sekolah Agama, Majlis Hal Ehwal Agama Islam (1969)
* Penasihat Lembaga Urusan dan Tabung Haji (1980an)
* Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, Tabung Haji
* Pengerusi Lembaga Maktab Mahmud
* Ahli Lembaga Amanah Yayasan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIM)
* Hakim pertandingan tilawah al-Quran peringkat negeri dan kebangsaan
* Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah
* Yang DiPertua Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kedah
* Ahli Majlis Agama Islam Kedah
* Ahli Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah
* Pengerusi Jawatankuasa Syariah Kedah
* Yang DiPertua Persatuan Ulama Kedah (1980-1984)
* Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah (1980-1984)
* Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kedah (1979-1986)


Beliau pernah dilantik oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah sebagai Yang Dipertua Majlis Hal Ehwal Agama Islam.
Antara hasil karya beliau ialah, Risalah Sembahyang Terawih dan Sembahyang Musafir, Jamak dan Qasar. Beliau juga menyusun kurikulum Sekolah-sekolah Rendah di Kedah. Dato' Paduka Syeikh Abd. Majid bukan sahaja dikenali sebagai tokoh dalam bidang agama tetapi juga tokoh pendidik yang disegani serta seorang yang warak dan lemah lembut tetapi tegas dalam soal berkaitan agama.

Sebagai mengenang sumbangan dan jasa bakti dalam bidang yang beliau ceburi, pelbagai pingat dan darjah kebesaran telah dianugerahkan oleh kerajaan, antaranya ialah D.H.M.S yang membawa gelaran Dato' Paduka, D.P.M.K, S.M.K., P.C.K., Dato' Setia Jaya dan Dato' Mursyid DiRaja (Dato' Bergelar Orang Besar Enam Belas). Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah pada tahun 1986, Tokoh Guru Kebangsaan pada tahun 1987 dan Tokoh Maal Hijrah pada tahun 1998.